Apa Itu IPO:Panduan Lengkap Untuk Memahami IPO

Pernah tak nampak atau dengar perkataan IPO di mana-mana media, televisyen, dalam berita, media sosial atau dimana-mana sahaja? Bagi yang faham dan tahu tiada masalah untuk memahami maksudnya, tapi untuk orang awam mungkin tak faham maksud IPO apatah lagi maknanya. Apa itu IPO? 

IPO adalah singkatan kepada Initial Public Offering atau dalam bahasa melayunya ialah Tawaran Awam Awal (TAA). Bahasa mudahnya ialah syarikat persendirian yang membuka peluang kepada orang awam membeli saham milik syarikatnya untuk mendapatkan suntikan modal bagi mengembangkan perniagaannya atau membayar hutang syarikat yang tidak mampu ditanggung sendirian.

Bagi sesetengah syarikat, mempunyai hak sepenuhnya keatas saham syarikat adalah sesuatu yang dipanggil persendirian namun apabila mereka ingin membuka peluang saham kepada orang awam untuk tambahan modal atau pun membayar kos operasi jadi syarikat ini akan menawarkan IPO.

Mengapa IPO ditawarkan?

Tujuan IPO adalah untuk sesebuah syarikat membuka peluang kepada orang ramai memiliki saham syarikat dan mengubah syarikat masuk ke dalam sektor awam. Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan sesebuah syarikat persendirian membuka peluang IPO kepada orang awam, antaranya ialah : 

  • Mengembangkan Perniagaan

Sesetengah syarikat atau perniagan persendirian mempunyai reputasi yang sangat baik dalam industri dan mencatatkan keuntungan yang baik saban tahun. Ini menjadikan kebanyakan syarikat ingin mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi dan ia memerlukan modal yang besar. Bagi tujuan tersebut mereka membuka peluang kepada orang awam untuk membeli bahagian unit saham yang ditetapkan melalui bursa Malaysia. Ini adalah cara yang baik untuk mendapatkan suntikan dana yang cukup untuk mengembangkan perniagaan mereka. Contohnya membuka cawangan di tempat berbeza, pertambahan aset dan pekerja serta banyak sebab lain lagi.

Antara contoh yang dapat dilihat adalah MR DIY, terkenal di Malaysia dengan cawangan serata seluruh Malaysia. MR DIY tersenarai di Bursa pada Oktober 2020 dimana harga 1 unit saham adalah RM 1.60. Dimana nilai modal pasaran MR DIY adalah sebanyak RM 10 bilion. Dengan pertambahan modal tersebut, MR DIY telah menambah hampir 500 buah cawangan di seluruh negara.

  • Menampung Pembiayaan Projek dan Membayar Hutang

Antara sebab lain juga ialah, ada syarikat yang mendapat projek yang besar dengan risiko yang sangat tinggi. Jadi dengan membuka saham IPO membolehkan mereka menampung pembiayan projek dengan tambahan modal yang ada. Selain itu seandainya syarikat berdepan dengan hutang yang tidak mampu dibayar, maka dengan membuka peluang IPO dapat membantu membayar hutang yang ada tanpa menjejaskan operasi syarikat.

  • Meningkatkan Nilai Syarikat

Jika syarikat beroperasi secara baik, keputusan syarikat untuk membuka kepada awam juga akan meningkatkan nilai syarikat itu tersendiri dimana ia tersenarai didalam bursa saham dan akan menarik minat ramai pelabur. Dengan prospektus syarikat yang menarik akan membuatkan nilai syarikat naik dimata pasaran.

Sebagai contoh, J&T Express merancang IPO yang bernilai RM 4.1 biliion manakala Senheng pula dikatakan merancang untuk menjana modal sebanyak RM 267.5 juta menerusi IPO.

Infografik dari luar negara pula men catatkan Saudi Aramco merupakan syarikat minyak & gas gergasi dari Arab Saudi berjaya menduduki tempat teratas IPO terbesar dalam sejarah dengan dana sebanyak USD 29.4 biliom. 

Bagaimana IPO Berfungsi?

Sesebuah syarikat persendirian mempunyai keseluruhan saham miliknya. Apabila sebuah syarikat ingin mencari dana untuk tambahan modal, mereka akan membuka sebahagian daripada saham yang dimiliki sebagai IPO. Ada 4 cara syarikat menawarkan IPO kepada awam iaitu : 

  1. MITI – untuk bumiputera sahaja, ia sesuai untuk pedagang yang mempunyai modal yang kecil dan boleh memiliki IPO syarikat yang mereka pilih melalui bank. Permohonan perlu melalui MITI dengan semua bukti kewangan dan kepada yang berjaya membeli saham IPO ini akan diberitahu melalui MITI.
  2. Private Placement – syarikat boleh membuat rundingan tawaran dengan syarikat lain seperti SDN BHD, Yayasan, Koperasi atau individu yang kaya dengan membeli saham secara blok dengan jumlah yang lebih besar contohnya syarikat yang berminat membeli 1 juta unit bagi mendapatkan IPO tersebut.
  3. Pink Form – Diperuntukan untuk pengarah, kakitangan atau sesiapa yang terlibat secara langsung dengan syarikat. Namun saham yang diperuntukan bergantung kepada jawatan dan tempoh perkhidmatan seseorang kakitangan tersebut.
  4. IPO Awam – Prospektus syarikat yang disenaraikan akan dikeluarkan dan semua pelabur sama ada syarikat atau individu boleh memohon minimum 100 unit sahaja.

Semua yang berjaya memiliki saham IPO mana-mana syarikat, maka ia dikira sebagai rakan kongsi dan mendapat pulangan tahunan atau dividen jika syarikat mencatat keuntungan. Selain itu boleh turut serta didalam mesyuarat agung tahunan bagi membahaskan perkara berbangkit. Dapat merasa memiliki sebahagian kecil syarikat yang diingini. Walaupun keuntungan boleh dikatakan jangka masa panjang, namun ada juga cara untuk mendapatkan keuntungan jangka masa pendek jika kita menjual pada hari pertama disenaraikan di Bursa dimana kebiasaannya harga akan melambung tinggi dan permintaan juga tinggi. 

Kelebihan dan Kekurangan IPO

Mana-mana syarikat yang menawarkan atau membuka IPO mempunyai tujuan yang hampir sama. Namun bagi pelabur atau pedagang pula, sebelum membuat keputusan membeli saham IPO, apa yang perlu dipertimbangkan ialah prospektus syarikat. Namun bagi syarikat pula, membuka IPO mempunyai banyak kelebihan dan juga turut mempunyai kekurangan IPO itu sendiri.

Kelebihan IPO

  • Potensi Keuntungan dimana dengan melabur didalam IPO, sekaligus menjadikan anda rakan niaga dan anda berpotensi mempunyai keuntungan besar sekiranya syarikat yang anda beli IPO berkembang dengan pesat dan mencatat keuntungan yang tinggi.
  • Modal Sederhana, ada beberapa cara membeli IPO dan biasanya dijual dalam bentuk unit dengan harga yang mampu milik contohnya MR DIY membuka IPO dengan harga RM 1.60 per unit dan jika minima unit yang boleh dibeli ialah 100, modal yang perlu anda keluarkan ialah RM 160 sahaja. Biasanya saat permulaan saham bermula dengan harga yang rendah dan akan meningkat.
  • Proses Mudah, proses untuk membuka akaun CDS kini mudah dan setelah akaun CDS dah siap dibuka anda boleh mencari IPO yang sesuai dengan kemampuan anda. Adakalanya ia boleh dilakukan secara atas talian.
  • Risiko Rendah – IPO dikategorikan sebagai pelaburan berisiko rendah dan boleh dikatakan sebagai pendapatan pasif. 
  • Suntikan Modal Cepat – kelebihan bagi syarikat yang menawarkan IPO pula ialah dapat menjana keuntungan yang lebih cepat apabila nilai syarikat meningkat sejajar dengan nama di papan bursa saham. 
  • Aset Kecairan Tinggi – IPO dikategorikan sebagai aset kecairan tinggi dimana bagi pemegang-pemegang saham IPO, prosedur untuk menjual semula saham boleh dilakukan dalam tempoh masa yang tidak terlalu lama lebih-lebih lagi bagi syarikat yang ternama.

Kekurangan IPO

  • Unit Saham Terhad – bagi pelabur yang ingin membeli saham IPO, perkara ini biasanya tidak dilakukan secara sewenangnya terutamanya bagi IPO awam, anda perlu memohon dahulu dan melalui beberapa proses sebelum berjaya. Unit saham pula terhad kerana terdapat unit maksimum yang boleh dimiliki. Bagi syarikat yang ternama seperti Farm Fresh, KFC, Umobile dan lain-lain, biasanya unit saham IPO menjadi rebutan dan tidak semua pelabur dapat membelinya.
  • Proses Mengambil Masa – Bagi sesetengah jenis saham IPO, bermula dari proses pemilihan, permohonan, dan lain lain akan mengambil masa sehingga permohonan berjaya.
  • Kos Upah Tinggi – Bagi syarikat yang menawarkan saham IPO pula, banyak kos yang terlibat dan biasanya agak tinggi seperti kos broker, kos operasi, kos pengurusan dan lain-lain kos.

Bagaimana Untuk Membeli IPO

Setelah berjaya membaca artikel ini sehingga ke peringkat ini, seterusnya adalah bagaimana untuk membeli saham IPO ini. Ada beberapa cara untuk membeli saham IPO antaranya ialah:

  1. MITI – Melalui MITI secara atas talian, klik ke laman sesawang SINI dan lihat syarat-syarat yang ditetapkan. Syarat-syaratnya adalah seperti berikut : 
  • Warganegara Malaysia
  • Bumiputera
  • 18 tahun keatas
  • Kewangan mencukupi

Setelah anda cukup syarat-syarat seperti yang diminta, anda boleg terus mengisi borang yang terdapat didalam laman sesawang MITI,akaun CDS atas nama sendiri, salinan penyata bank serta cop rasmi bank, salinan buku ASB atau Tabung Haji dan surat sokongan kewangan jika perlu. Pastikan anda sudah mempunyai akaun CDS dari mana-mana bank pilihan anda.

  1. Broker Asing – untuk saham IPO luar negara, anda boleh mencari broker yang dipercayai untuk menguruskan IPO anda. Namun untuk menggunakan broker asing anda perlu pastikan broker yang dipilih adalah dipercayai dan pastikan kos-kos yang bersesuaian. 
  2. Akaun CDS – bagi membuka akaun CDS secara atas talian pula, anda boleh memilih bank yang anda suka dan masuk ke laman dagangan dan pelaburan, pilih IPO yang anda suka dan buat permohonan ke mana-mana saham IPO yang anda suka.

Perlukah anda melabur dalam IPO?

Sebagai pelabur, selalunya IPO memang menjadi salah satu pilihan terutamanya pelabur runcit. Kebiasaannya pelabur tertarik dengan IPO kerana kredibiliti syarikat yang menawarkan dan jika prospektus syarikat menarik mungkin ianya berbaloi. Bagaimanapun perlu kah anda melabur didalam IPO?

Jika ditanya kepada saya, jawapan nya ialah Ya perlu. IPO adalah pelaburan pasif berisiko rendah dengan harga bukaan unit yang rendah. Hanya syarikat berprofil tinggi sahaja yang memasuki pasaran awam. IPO syarikat pula selalunya terhad namun risiko tetap ada dan sukar untuk memilikinya. Ramai pelabur yang melihat peluang membuat keuntungan daripada IPO dan syarikat yang berjaya memasukan diri mereka ke dalam senarai bursa adalah satu impian.

Kepada pelabur baru, anda harus tidak terburu-buru dalam mengejar IPO terutamanya bagi senarai syarikat baru kerana rekod prestasi syarikat masih belum stabil dan dibuktikan lagi. Baca prospektus syarikat IPO dengan teliti dan untuk pelabur Islam, pastikan status syariah terlebih dahulu sebelum membeli IPO mana-mana syarikat.

Adakalanya saham IPO ditawarkan atas permintaan ramai mungkin kerana populariti dan progress syarikat yang nampak sangat menarik.

Kesimpulan

Ringkasnya, setiap pelaburan datang dengan risiko tersendiri termasuk IPO, harga nya mungkin melonjak naik pada hari pertama tersenarai didalam papan bursa namun apa yang penting adalah lakukan kajian terhadap syarikat dan risiko. Jika anda mempunyai syarikat idola anda. Dengan ini kami berharap anda mendapat maklumat dengan jelas dan bermanfaat supaya mudah untuk anda membuat pilihan sama ada ingin membuat pelaburan IPO. Moga mendapat manfaat daripada artikel kami kali ini. Selamat melabur.

Anda Mungkin Suka

Cara Beli Saham Starbucks? Panduan Lengkap untuk Pelabur

Cara Membeli Saham Di Bursa Saham Malaysia 2021

5 Broker Saham Bursa Malaysia Yang Terbaik 2022

Bagikan Artikel

Tinggalkan Balasan